Sejarah
Semuanya bermula apabila anak sulung saya perlu buat eksperimen di sekolah, iaitu menanam cili, semasa dia di sekolah rendah. Saya tolong dia semai biji cili dalam pasu. Tidak lama kemudian, keluar tunas pokok dari biji cili yang disemai. Berkat dijaga dan disiram, ia tumbuh menjadi pokok cili sihat yang menghasilkan cili yang boleh dipetik dan diguna untuk memasak.
Sejak itu, minat untuk bercucuk-tanam hadir, cuma sering dibatasi dengan masa lapang yang kurang. Tapi setiap kali saya berkebun, memang boleh hilang masalah yang dihadapi dan membuat saya lebih tenang.
Kalaulah sejak muda saya tahu betapa seronoknya menanam ini, sudah lama saya belajar bidang pertanian atau perladangan atau perhutanan. Tersalah jurusan rupanya saya ini. Eh...
Tentang Blog Ini
Blog ini adalah tentang hobi saya, iaitu berkebun. Semasa saya mencecah pertengahan usia, barulah saya sedar yang saya suka pokok dan bunga. Cita-cita saya adalah untuk menanam dan makan hasil tanaman sendiri. Insya-Allah. Kalau boleh, saya ingin ada rumah kecil di pinggir hutan, jauh dari kesibukan. Angan-angan itu percuma.
Blog ini adalah tempat saya ceritakan tentang aktiviti berkebun. Sebuah tempat saya merekodkan tanaman yang ditanam, tempat untuk saya kongsikan cara tanaman sesuatu pokok, supaya saya boleh rujuk sekiranya saya terlupa di masa hadapan.
Saya tidak pernah menerima pendidikan formal dalam bidang pertanian. Saya hanya belajar menanam melalui carian online.
Tentang Saya
Kalau boleh, saya tidak mahu dikenali. Saya tulis blog ini untuk diri saya sendiri.
![]() |
| Nama saya Nur, dan Oyen adalah kucing saya. |

0 Ulasan