Perkembangan tomato

 Entri ini adalah sambungan dari cerita saya semai benih tomato dari tomato yang saya gunakan semasa masak lauk sayur. Boleh klik sini untuk baca 👉 Cuba semai tomato dan lada benggala. 

Sudah keluar anak pokok kecil-kecil dan comel di tapak semaian saya.

Anak pokok tomato sudah bercambah dari benih.
Anak pokok tomato sudah bercambah dari benih biji dari tomato.

Saya masih belum pindahkan ke pasu lebih besar, sebab  belum beli tanah. Sibuk sikit minggu ini. Tidak sempat ke nurseri pokok bunga. 

Anak pokok tomato semakin besar
Gambar selepas beberapa hari, semakin membesar.

Ada petak semaian di atas, anak pokok itu tumbuh rapat-rapat. Mesti akar di bawah sudah berselirat. Asyik lupa saja untuk beli tanah. Mungkin kena guna dulu apa yang ada.

Tomato ini, antara sayur yang saya suka. Sebab boleh dimakan begitu saja, tanpa dimasak. Boleh juga guna dalam masakan, contoh kari, dan buat sayur campur. 

Dulu-dulu masa saya kecil, pakcik saya sebelah bapa (adik bapa) yang ajar untuk makan tomato. Dia boleh makan tomato macam makan buah epal, begitu saja. Kulit jadi licin, katanya. 

Ya ke makan tomato, kulit boleh jadi licin? Saya pun buatlah carian.

Khasiat tomato

Ha ah, memang betul. Makan tomato atau menyapu tomato pada wajah boleh menolong menjadikan kulit lebih sihat, berseri dan tampak licin. 

Oh, tomato kaya dengan antioksidan kuat yang dipanggil likopena, yang melindungi sel kulit dari kerosakan akibat radikal bebas dan sinar UV. Tomato juga mengandungi vitamin C dan A, yang merangsang penghasilan kolagen, mengurangkan kesan kusam dan melambatkan tanda-tanda penuaan. Wow! Ini sudah sangat baik!

Kalau kita sapu tomato segar pada muka, ia membantu menyerap lebihan minyak pada muka kita dan membantu mengecutkan jerawat. Okay. Yang ini, saya baru tahu.

Tetapi biasalah, kena jadikan amalan, dan bergantung kepada individu juga dan jenis kulit.

Baiklah. Berbalik semula kepada tanaman tomato saya, saya akan update lagi nanti bila sudah pindahkan ke pasu lebih besar.

Seronoknya kalau tanaman kali ini dapat keluarkan tomato dan boleh ambil terus nanti, jika ada rezeki. Mudah-mudahan. 🤲

Tomato kalau ada timun, sudah cukup dibuat salad. Kita potong dadu, campur bawang merah sikit, daun ketumbar, minyak zaitun dan jus lemon. 

Salad timun dan tomato
Gambar dari carian. Salad timun dan tomato.

Sedapnya. Tak sabor la! Belum apa-apa sudah berangan dulu. 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Tomato memang bagus. Kalau jenis kecil tu terus ngap. Tapi pokok tomato ni perlu juga penungkat pokok sebab macam jenis menjalar juga bila dah besar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ha ah, kak. Batang pokoknya agak lembut, kan.

      Padam

Tolong komen yang baik-baik, ya. Terima kasih kerana sudi baca cerita berkebun saya.