Terjumpa bayam

 Pada suatu hari, dalam dua minggu lepas ke, minggu lepas, saya pun sudah lupa, waktu itu, saya baru balik dari mengopi di pagi hari, disebabkan cuaca baik dan tidak panas, sempatlah saya tengok pokok-pokok di kebun miniku sekejap. Saya ingatkan nak tanam anak pokok tomato, tapi tidak sempat. 

Sedang saya mencabut rumput liar dalam satu pasu yang ada pokok rain lily, saya terjumpa bayam.

Bayam kongsi pasu dengan pokok bunga rain lily
Bayam kongsi pasu dengan rain lily

Pokok rain lily itu, yang daun dia memanjang macam daun bawang itu. Ada saya kongsikan bunga pokok rain lily di sini 👉 Bunga sebagai terapi.

Pokok bayam yang tumbuh dalam pasu yang sama itu, nampak macam tak berapa sihat, sebab berkongsi pasu agaknya. Persaingan akar dalam tanah. Tidak cukup ruang. Saya pun tidak perasan selama ini, sehinggalah saya cabut rumput liar yang tumbuh memenuhi pasu itu.

Memang begitu, selalunya. Bila sudah pindahkan pokok lain ke dalam pasu atau tanam benda lain, barulah anak benih yang disemai lebih awal jadi pokok. Bila kita biar pasu tanpa pokok, anak benih yang telah dicampak lebih awal tidak pula menjadi, tumbuh jadi apa-apa. Contoh dulu-dulu, saya pernah campak benih bunga, lepas tu tak ada apa-apa pun yang tumbuh. Saya ingat memang tak jadilah, jadi saya gunakan pasu yang sama, pindahkan pokok lidah buaya atau anak pokok bendi. Tengok-tengok lepas tu, eh... keluar pula pokok bunga zinnia. Gitu... memang pokok ini suka berebut agaknya dalam satu pasu sempit. Sepatutnya saya tunggu lebih lama sebelum guna pasu yang sama. Tapi sejenis tidak sabar. Cabut rumput pun malas. Hmmm.....

Bayam pun ada macam-macam jenis. Saya semai benih yang dibeli di... entah la, lupa sudah, benih lama la, dalam simpanan saya. 

Merujuk kepada gambar di atas, bayam amaranth nama ia. Ada bayam hijau, bayam merah, dan pelbagai varieti amaranthus (hasil carian google). Pokok ini cepat tumbuh, google kata, mudah dijaga dan sesuai untuk kebun rumah.

Khasiat bayam amaranth

🌿 Kaya dengan zat besi: Membantu pembentukan sel darah merah dan bagus untuk yang mudah letih atau kurang darah.

Ada seorang doktor omputih ini, saya follow dia di mukabuku, sebab dia punya ajaran lain daripada doktor lain, tapi lebih kurang sama macam Dr. Mani la, dia kata, memang elok makan sayuran hijau. Bayam pun termasuk dalam sayuran berdaun hijau, jadi baguslah kalau makan banyak.

🌿 Tinggi vitamin A: Baik untuk mata, kulit dan sistem imun badan.

🌿 Mengandungi vitamin C: Membantu penyerapan zat besi dan bantu sistem pertahanan badan.

🌿 Tinggi serat: Baik untuk penghadaman dan bantu lawas.

🌿 Mengandungi aktioksidan

🌿 Rendah kalori: Sesuai untuk yang hendak jaga berat badan tetapi masih mahu makan makanan berkhasiat. Saya ada baca, kalau on diet, sayur tiada limit, makanlah banyak sayur, sebab kalori rendah dan ia fiber, jadi bantu membuang, juga bantu cepat kenyang.

🌿 Mudah dimasak: Boleh tumis air, buat sup, campur mi, goreng belacan, masak lemak atau goreng kilas pecah telur.

Disebabkan ada sebatang saja pokok bayam yang menjadi, bolehlah saya ambil daun bayam dan campur dengan sayur lain, buat sayur campur. Alhamdulillah.

Langit mendung, hujan nak turun
Ani, angkat kain hujan, jemuran mau turun!

Saya tidak sempat pindahkan anak pokok tomato pun. Lepas itu, saya pun masuk dalam rumah sebab hujan turun.

Seronok hujan, sebab sejuk. Tidur best. ZZZZZ....

Catat Ulasan

0 Ulasan