Walaupun pokok kunyit tidak kelihatan atau sudah mati, kalau kita korek tanah, kunyitnya masih ada, Insya-Allah.
![]() |
| Kunyit yang terkeluar dari tanah |
Kunyit yang terkeluar itu, kunyit yang sudah tua. Sekali pandang, rupanya seakan halia. Tapi bila saya gali tanah, isi kunyit dalam tanah, masih berwarna kuning. Terus saya kambus semula tanah. Biar sajalah di situ. Mungkin bila nak guna untuk memasak, barulah akan digali semula.
![]() |
| Lagi kunyit terkeluar dari tanah |
Ini satu lagi contoh kunyit tua terkeluar dari tanah. Pokok kunyit tinggal batang saja. Daunnya sudah kekuningan dan layu, lalu saya potong dan buang. Tiada keperluan untuk guna. Jadi, biarlah ia duduk dalam tanah sahaja.
Walaupun satu hari nanti, batangnya pun akan layu dan sudah tidak tinggal apa-apa di permukaan tanah yang dapat dilihat.
Sebab suatu hari nanti, kunyit yang masih ada dalam tanah itu, akan keluarkan tunas pokok yang baru.
![]() |
| Pokok kunyit baru keluar. |
Daun kunyit pun belum kembang lagi, merujuk kepada gambar di atas. Masih bergulung. Bila hujan turun setiap hari, memang pokok-pokok akan tumbuh segar. Alhamdulillah.
Daun kunyit kita selalu guna untuk masak rendang atau masak lemak dan sebagainya.
Khasiat kunyit
Kunyit kaya dengan sebatian aktif yang dipanggil curcumin yang bersihat antioksidan dan anti-radang yang kuat.
🌼 Anti-radang semulajadi: Membantu mengurangkan sakit sendi, lenguh-lenguh badan dan radang akibat arthritis.
🌼 Menyokong sistem penghadaman: Melegakan kembung perut, merangsang pengeluaran hempedu, serta membantu mengurangkan gejala gastrik ringan.
🌼 Detoksifikasi hati: Membantu organ hati meneutralkan toksin dan melindungi sel-sel hati.
🌼 Menurunkan kolesterol: Membantu mengurangkan kolesterol jahat (LDL) serta melancarkan aliran darah.
🌼 Mengawal paras gula: Berpotensi membantu mengawal kestabilan gula dalam darah bagi pesakit diabetes.
🌼 Kesihatan kulit: Sifat antibakteria dan antiseptiknya membantu merawat masalah jerawat serta mempercepatkan penyembuhan luka kecil.
Walaupun kaya dengan khasiat, pengambilannya perlu dalam kadar sederhana (cukup 1-2 ruas sehari) kerana kunyit berlebihan boleh merangsang rahim dan bagi yang ambil ubat cair darah, perlu dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Dulu waktu zaman sekolah, saya teringat ada kawan sekelas berbangsa India, hadir ke sekolah, muka dia kelihatan sedikit kuning. Sebab dia pakai kunyit di muka. Muka memang tiada jerawat, tapi itulah, nampak kulit muka sedikit kekuningan bila baru lepas pakai.
Falsafah pokok kunyit dan kaitan dengan hidup kita
Hidup low profile dan keikhlasan tak perlu ditunjuk.
Dalam hidup, kita selalu diajar untuk contohi pokok padi, lagi berisi, lagi tunduk. Atau pokok kelapa yang serba guna, atau pokok beringin yang berdiri megah menaungi. Tapi, kita jarang tunduk ke tanah dan belajar dari sebatang pokok kunyit, kan?
Hidup low profile
Rizom atau isi kunyit tersimpan elok dalam tanah. Kita tak nampak warnanya yang kuning, kalau kita tidak gali. Kalau kita tidak gali, tiada sesiapa yang akan sedar akan kewujudan 'emas herba' ini.
Macam itulah sewajarnya nilai kebaikan dalam hidup kita. Kita tidak perlu beritahu dunia tentang setiap benda baik yang kita buat. Tidak perlu menunjuk-nunjuk vibe terpaling suci atau harapkan pujian manusia. Biarlah kebaikan kita itu seperti kunyit, low profile, tersembunyi dari mata umum, tetapi penuh manfaat. Cukuplah hanya Allah yang tahu.
Biarpun nampak lemah dan rebah, tapi tetap wujud (Ketahanan Diri)
Bila kita diuji dengan ujian yang sukar, mungkin nama kita jatuh, kerjaya hilang, fizikal dimamah usia (seperti daun dan batang kunyit yang layu kekuningan dan dibuang), ingatlah yang 'akar' kita masih ada.
Akar itu adalah iman, prinsip hidup, ilmu dan kebaikan yang pernah kita tanam. Manusia memang boleh buang 'batang dan daun' kita secara luaran, tapi mereka tidak boleh musnahkan nilai diri kita yang tertanam kuat dalam dada.
Orang mungkin boleh mengejek kita, menjatuhkan semangat kita, tapi kekuatan dalam diri itu masih ada, percayalah. Kalau rasa macam hanyut saja dan tidak kuat, think deeper, dan percaya bahawa kita lebih kuat dari apa yang kita sangka.
Masa depan lebih cerah dan harapan baru
Kunyit yang kita biar dalam tanah tanpa kita gali, tidak akan mereput dengan sia-sia. Bila tiba masa, Insya-Allah, dengan adanya hujan dan tanah subur, sebatang tunas baru yang hijau dan segar akan muncul kembali keluar ke permukaan tanah.
Ini mengajar kita tentang harapan dan comeback dalam hidup. Walaupun sekarang kita pilih untuk berdiam diri, menyendiri atau sedang kumpul kekuatan di bawah radar (fasa low profile), itu bukan bermakna kita sudah kalah. Kita sedang bina akar yang lebih kuat. Suatu hari nanti, kita akan bangkit semula dengan semangat baru, hidup baru, yang lebih matang dan lebih bermanfaat, Insya-Allah. What doesn't kill you, makes you stronger. 💪
Dunia zaman sekarang
Dalam dunia zaman sekarang yang bising dengan manusia yang mahu dilihat hebat di permukaan, saya memilih untuk jadi seperti kunyit. Biarlah hidup sederhana, tiada ramai kawan, tidak disedari pun kewujudan oleh orang lain, tetapi tetap memberi kesan bila saya diperlukan.
Kerana pada akhirnya, apa yang ada di permukaan akan layu dan dibuang, tapi apa yang tersemat ikhlas dalam hati, akan kekal dibawa menghadap Ilahi.



0 Ulasan
Tolong komen yang baik-baik, ya. Terima kasih kerana sudi baca cerita berkebun saya.