Hari ini barulah boleh bercucuk-tanam. Semalam pagi hujan. Banyak kerja tertunggak. Hari ini, pindahkan beberapa anak pokok timun mini ke dalam pasu lebih besar.
![]() |
| Anak pokok timun mini |
Biji benih timun mini ini, saya beli dari kedai Eco. Semai dalam bekas tapak semaian yang punyai banyak petak. Satu petak, letak dua hingga tiga biji benih. Alhamdulillah, tumbuh jadi anak pokok.
Saya cabut juga rumput di kawasan yang nak tempatkan pasu timun mini ini. Cabut guna tangan saja. Jadi, boleh cabut rumput dari akar. Lambat sikit rumput akan tumbuh semula, berbanding menebas rumput guna sabit. Jadi, itu yang ambil masa sikit nak siap lapangkan satu kawasan. Itupun, belum habis pindahkan lagi semua anak pokok timun mini.
![]() |
| Tiga pasu pertama |
Tanah tidak berapa subur. Ada macam benda putih-putih dalam tanah. Itu yang saya ambil keputusan untuk pindahkan ke dalam pasu saja. Sebelum tanam anak pokok, saya letak dulu sisa buangan dapur, contohnya kulit telur dan bawang, hancurkan hingga kecil-kecil, barulah saya timbuskan dengan tanah. Tanah 6 dalam 1 sudah habis, tinggal tanah hitam yang dibeli di Kedai Eco. Itu pun, plastik kecil yang tinggal separuh. Jadi, kita improvise, guna bahan apa yang ada.
Saya korek longkang yang ada tanah dan rumput tumbuh. Kalau rumput boleh tumbuh dalam longkang, bermakna tanah itu elok. Jadi, saya angkat besi yang menutup longkang yang agak berat itu, dan ambil tanah. Lebih kurang kerja dua dalam satu. Sambil bercucuk-tanam, dapat juga bersihkan kawasan rumah juga. Aktiviti senaman yang bagus juga.
Pasu yang kecil, saya pindahkan satu anak pokok. Pasu yang panjang, saya tanam dua anak pokok.
![]() |
| Lagi dua pasu tanam anak pokok timun mini. |
Saya belum habiskan pindahkan lagi. Esok akan sambung kerja. Sebab saya tidak pernah tanam pokok timun mini, saya buat carian dulu. Makan timun kecil, pernah. Tanam timun kecil, tidak pernah.
Pokok timun mini:
- Daun: Lebar, bentuk macam hati atau agak berlekuk, warna hijau.
- Batang: Lembut masa muda, kemudian memanjang dan menjalar.
- Sulur paut: Macam tali kecil yang berpintal untuk berpaut pada jaring, kayu atau penyokong. (Baik, kena standby batang buluh)
- Bunga: Biasanya warna kuning.
- Buah: Bentuk dan saiz bergantung pada variety timun mini yang ditanam.
Pokok timun mini adalah pokok jenis memanjat dan menjalar. Bukan pokok renek yang kekal rendah.
Besar mana buah timun mini?
Ada jenis buahnya pendek, lebih kurang 5-10 cm. Ada juga yang boleh mencapai 10-15 cm. Buahnya biasanya warna hijau, kulit licin atau sedikit berbintik, bergantung pada variety.
Buah timun mini boleh dimakan segar sebagai ulam, salad atau snek.
![]() |
| Contoh timun mini. Gambar bukan hak milik saya. Hasil carian online. |
Penjagaan
Siram pada pangkal pokok supaya air sampai ke akar, bukannya basahkan daun bagi pokok mandi, ya. Pastikan pasu tidak menakung air.
Timun ialah tanaman yang suka cuaca panas dan medium yang subur dan punya saliran yang baik.
Sediakan penyokong sebelum batang menjadi terlalu panjang. Ini supaya boleh latih pokok memanjat tanpa perlu alihkan batang yang sudah besar. Sulur pautnya akan membantu pokok berpaut sendiri.
Periksa bahagian atas dan bawah daun bila jenguk pokok, serangga perosak yang suka adalah kutu daun, kulapuk putih dan daun boleh jadi berlubang atau rosak.
Pokok timun biasanya keluarkan bunga jantan dan bunga betina. Bunga betina ada bentuk buah kecil di belakang bunga, manakala bunga jantan tidak ada buah kecil tersebut.
Bagi variety yang perlukan pendebungaan, debunga perlu dipindahkan dari bunga jantan kepada bunga betina untuk buah berkembang. Ada juga variety hibrid yang boleh hasilkan buah tanpa pendebungaan.
![]() |
| Bunga timun mini. Gambar bukan milik saya, hasil carian online. |
Dari sebelum 8 pagi saya mula berkebun. Pukul 10.15 pagi barulah saya masuk rumah. Masih fikir-fikir nak menanam di mana baki anak pokok timun mini. Semoga pokok yang sudah dipindahkan ke pasu tumbuh lebih besar dan sihat, subur dan saya dapat menikmati hasilnya. Aminn.... 🤲





0 Ulasan
Tolong komen yang baik-baik, ya. Terima kasih kerana sudi baca cerita berkebun saya.