Lagi hasil kacang panjang dan masak lemak sayur

 Entri ini sambungan dari hasil kutipan pertama kacang panjang. Boleh klik sini untuk baca 👉 Kacang Panjang Sulung. Sejak dari hari itu, ada nampak beberapa kacang panjang yang mulai terjadi di pokok. Jom tengok.

Sebatang kacang panjang
Sebatang kacang panjang

Gambar di atas adalah kacang panjang yang boleh dilihat di dalam kawasan rumah. Kena juga keluar rumah untuk tengok-tengok jika ada.

Sebatang kacang panjang di luar pagar.
Sebatang kacang panjang di luar pagar.

Ku sangkakan cuma dua batang kacang panjang. Tapi setelah diselak-selak daun dan batang pokok yang merimbun, rupanya ada lagi beberapa batang kacang panjang yang tidak kelihatan dari luar.

Hasil kutipan kacang panjang
Hasil kutipan pada hari itu

Ada tujuh batang kacang panjang. Alhamdulillah. Banyaklah juga, pada saya. 

Tanpa membuang masa, saya terus masak lauk masak lemak sayur putih. Saya kongsikan resepinya seperti di bawah.

Resepi Masak Lemak Sayur Putih

Bahan-bahan utama

🍄 Setengah biji kobis dihiris kasar (saya guna sayur sawi untuk gantikan kobis)

🍄 Setengah batang lobak merah dihiris

🍄 Satu keping tauhu, dipotong dadu

🍄 Satu genggam ikan bilis

🍄 Satu biji cili merah, dihiris

🍄 Tiga ulas bawang merah, dihiris

🍄 Dua ulas bawang putih, dihiris

🍄 Dua cawan santan cair

🍄 Dua cawan santan pekat

🍄 Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara Memasak

1. Satukan bahan: Di dalam periuk, masukkan santan cair bersama bawang merah, bawang putih, ikan bilis dan lobak merah. Masak dengan api perlahan sehingga sedikit mendidih.

2. Masukkan sayur: Masukkan kobis, tauhu, dan cili merah. Kacau sebati.

3. Tuang santan pekat: Masukkan santan pekat, kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

4. Kacau perlahan: Kacau secara perlahan supaya santan tidak pecah minyak sehingga sayur menjadi lembut dan kuah mendidih sebati.

5. Hidang: Tutup api dan sedap dihidangkan bersama ikan goreng atau ikan kering.

Masak lemak sayur putih
Masak lemak sayur putih

Selain sawi untuk gantikan kobis di dalam resepi, saya juga turut masukkan terung pipit dan kacang panjang hasil tanam sendiri. Alhamdulillah. Selera kami makan nasi pada hari itu. 

Kita boleh guna apa saja sayur yang ada untuk masak lemak putih ini. Saya pernah makan sayur lemak putih yang di dalamnya ada sayur pucuk manis dan labu. 😋

Suka dapat menikmati hasil tanam sendiri. Alhamdulillah, syukur atas rezeki dari Allah. 

My abang gebu suka makan terung pipit. Saya kurang suka, sebab rasanya ada sedikit pahit. Saya lebih banyak makan sayur sawi.

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Sayur kacang ni selalu buat goreng Kering. Potong serong Dan tambah soohoon. Kadang buat sambal goreng tambah Kentang tempe Dan tahu goreng. Lada hiris Dan bawang hiris.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sedapnya kak, kacang goreng dengan suhun. Kacang panjang dalam sambal goreng pun sodap!

      Padam

Tolong komen yang baik-baik, ya. Terima kasih kerana sudi baca cerita berkebun saya.