Bila periksa pokok kacang panjang, kena buka mata besar-besar. Pokoknya sudah mulai lebat. Batang lembut berdaun hijau tumbuh berselirat antara satu sama lain. Saya biasanya periksa pokok kacang pagi-pagi. Sebelum kumpulan kera liar mula lalu di kawasan depan rumah.
Saya pun tak perasan, tapi rasanya setakat entri ini ditulis, Alhamdulillah, kera macam tak berminat dengan pokok kacang panjang ini. Sebab pokok kacang panjang ini kelihatan agak semak di hadapan rumah. Yang saya nampak, tumbuhan yang terjejas adalah daun betik muda, bendi muda dan terung pipit.
Kita boleh nampak kesan angkara kera ini. Misalnya, saya tahu kera makan daun betik sebab buluh penyokong berdekatan, yang saya pasang untuk pokok timun mini, patah. Lepas tu, nampak cebisan daun-daun betik bertaburan di tanah. Kera ini suka makan sikit-sikit, lepas tu buang merata-rata.
Berbalik kepada pokok kacang panjang, seronok dapat kutip hasil kacang panjang setiap hari.
![]() |
| Ada dua kacang panjang di situ. |
Selak-selak daun di bahagian dalam dan luar rumah. Saya juga letak kayu penyokong pada pokok kacang panjang ini juga, di bahagian yang agak lebat, supaya senang boleh nampak bahagian dalam, ada kacang atau tidak.
![]() |
| Kutipan pada hari itu |
Tidak tentu hasil kutipan. Kadang, dua batang, kadang banyak. Dalam gambar di atas, ada empat batang kacang panjang yang boleh dikutip pada hari itu.
Sebab saya sejenis malas memasak, saya masak lauk sekali protein bersama sayur, dalam satu periuk. Huhu... jom tengok.
![]() |
| Ayam kicap bersama kacang panjang dan timun |
Resepi ayam kicap bersama kacang panjang dan timun
Eh, lauk senang pun nak tulis resepi juga ke? Hehe.. mana tahu, kot ada pembaca mencari one pot meal yang senang, saya share sajalah ye.
Bahan-bahan:
Ayam separuh ekor. Cuci ayam bersih, perap dengan serbuk kunyit seketika dan goreng.
Bawang merah 5 biji, dihiris.
Bawang putih 3 ulas, dihiris.
Tomato sebiji, belah 4.
Timun jepun, dipotong ikut suka hati
Kacang panjang, potong serong
Kicap manis dan kicap pekat
Sos tiram
Cara-cara:
Selepas goreng ayam, asingkan.
Buang minyak lebihan lepas goreng ayam tadi. Kita pakai minyak sikit je, tumis bawang merah dan bawang putih hingga kekuningan.
Masukkan air sedikit, bersama kicap manis, kicap pekat dan sesudu sos tiram.
Kacau sebati, masukkan ayam yang telah digoreng.
Perasakan dengan serbuk perasa, garam dan gula ikut selera masing-masing. Saya letak lada hitam sikit.
Bila sudah mesra ayam bersama kuah kicap, masukkan sayur seperti timun, kacang panjang dan tomato.
Masak hingga mendidih dan kuah agak pekat.
Siap! Bon appetit. 😋



0 Ulasan
Tolong komen yang baik-baik, ya. Terima kasih kerana sudi baca cerita berkebun saya.