Tutorial pindah anak pokok

 Di sini saya ingin kongsikan cara-cara saya pindahkan anak pokok dari tapak semaian ke pasu lebih besar. 

Dalam entri ini, saya hendak pindahkan anak pokok timun mini. Benihnya, saya beli dari pasaraya Econsave. Timun mini lebih pendek dari timun biasa. Rasanya lebih manis dan rangup, sesuai dimakan mentah sebagai snek, salad atau ulam bersama sambal belacan atau budu. Saya memang suka tanam sayur yang boleh dimakan mentah. Hehe.. malas masuk dapur, memasak. Sudah berpuluh tahun saya jadi suri rumah, jadi saya tidaklah rajin sangat untuk memasak setiap hari. 🙈

Tiada cara betul atau salah sebenarnya. Ini cuma cara saya. Ia berkesan bagi saya, dan pokok tumbuh elok dan sihat. Apa pun, terpulang pada citarasa dan keadaan masing-masing, hendak tanam dalam pasu atau tanah sahaja.

Baiklah, jom tengok.

Pilih pasu yang besar dan ketinggian tinggi
1. Pilih pasu yang besar dan ketinggian tinggi

Ye la, semasa di tapak semaian, anak-anak pokok tumbuh rapat-rapat. Jadi, bila pindahkan, biarlah akar pokok boleh memanjang di tempat yang lebih luas. Saya beli pasu di atas di kedai Eco. 

Tutup setiap lubang pada pasu dengan batu
2. Tutup setiap lubang pasu dengan batu

Tidak semestinya ambil batu lebih besar. Batu sekadar menutupi sedikit lubang pun sudah okay. Ini supaya air siraman masih boleh mengalir keluar dari pasu.

Masukkan tanah nipis, sekadar sembunyikan batu tutup lubang pasu kita
3. Masukkan tanah nipis, sekadar sembunyikan batu yang kita gunakan untuk tutup lubang pasu tadi.

Saya guna tanah 6 dalam 1, beli di kedai nursery pokok. Campuran enam jenis tanah ini ialah:

🌼 Coco peat - media tanaman organik yang diperbuat daripada hampas atau serbuk kulit sabut kelapa yang telah diproses.

🌼 Charcoal powder - serbuk halus yang dihasilkan daripada pembakaran bahan organik (seperti kayu, tempurung kepala kelapa atau buluh) tanpa kehadiran oksigen yang banyak. Serbuk arang ini berfungsi sebagai bahan pembaik pulih tanah dan media tanaman.

🌼 Burnt rice husk (sekam padi bakar) - kulit biji padi yang telah dibakar secara tidak sempurna (hangus hitam, bukan menjadi abu putih). Ia membekalkan mineral semulajadi seperti silika (yang menguatkan batang dan daun pokok agar lebih tahan serangan perosak/kulat) serta kalium (untuk penghasilan bunga dan buah).

🌼 Burnt earth - tanah liat atau tanah atas (topsoil) yang telah melalui proses pembakaran bersama bahan organik (seperti kayu atau daun kering) sehingga bertukar menjadi ketulan-ketulan tanah yang kering, poros, dan berwarna kemerahan atau kehitaman. Berbanding coco peat dan sekam padi bakar yang sangat ringan, tanah bakar mempunyai berat yang sesuai untuk memegang akar pokok (seperti pokok cili, bunga ros, atau buah-buahan dalam pasu) supaya pokok tidak mudah tumbang ditiup angin.

🌼 Humus - bahan organik berwarna gelap (kehitaman) dan bertekstur lembut seperti span yang terbentuk daripada pereputan sisa tumbuhan dan haiwan oleh mikroorganisma dalam tanah. Humus merupakan komponen paling subur yang menjadikan tanah hidup dan sihat.

🌼 River sand (pasir sungai) - Pasir kasar yang diambil dari dasar atau tebing sungai yang sering digunakan dalam campuran media tanaman untuk melancarkan pengaliran air.

Itulah dia, enam media tanaman sudah siap dicampur. Satu bungkus besar tanah 6 dalam 1 ini, saya beli di kedai nurseri pokok bunga, dengan harga RM13. Berat lebih kurang 10 kg.

Okay, sambung semula langkah seterusnya...

Letak sisa dapur
4. Letak sisa dapur

Sisa dapur yang saya letak adalah kulit telur, kulit bawang, batang kecil ulam terung pipit, daun pisang (dari bungkusan nasi lemak) dan semua benda sampah dapur. Jangan letak plastik atau kertas.

Meletakkan sisa dapur seperti kulit buah, sisa sayur atau kulit telur di bahagian paling bawah pasu berfungsi sebagai kompos semula jadi yang membekalkan baja jangka panjang serta menjimatkan penggunaan tanah.

Sisa dapur itu, lama-lama akan mereput perlahan-lahan dan bertukar menjadi humus yang kaya dengan nutrien. Apabila akar anak pokok sudah memanjang ke bawah nanti, ia akan terus menyerap baja semula jadi ini.

Elakkan sisa berlemak dan berdaging. Gunakan hanya sisa berasaskan tumbuhan (kulit bawang, kulit pisang, batang sayur, hampas teh/kopi atau kulit telur). Jangan masukkan sisa daging, tulang ikan, minyak atau makanan bersantan kerana ia akan berbau busuk, mengundang ulat/tikus dan menarik kulat berbahaya.

Baik, lepas letak sisa dapur, jom kita ambil anak pokok yang hendak dipindahkan.

Ambil anak pokok di tapak semaian
5. Ambil anak pokok di tapak semaian

Daun pada anak pokok timun mini di atas sudah banyak. Siap kena makan kumbang lagi, daunnya. Kesian dia, tertinggal di tapak semaian. Adik-beradik dia batch sama sudah lama duduk rumah lebih besar. Dia sorang tertinggal, belum pindah.

6. Isikan tanah 6 dalam 1 hingga lebih separuh pasu. Gembur-gemburkan dulu tanah itu ya.

Buat lubang di tengah pasu
7. Buat lubang di tengah pasu.

Dalam gambar di atas, saya buat lubang pada tanah menggunakan kayu kecil.

8. Di tapak semaian, saya scoop keluar anak pokok menggunakan penyodok tanah kecil. Tapi saya angkat tanah yang diceduk menggunakan tangan. Dinasihatkan supaya pakai sarung tangan. Saya malas pula hendak pakai sarung tangan waktu hari kejadian. Sarung tangan ada di depan rumah, sedangkan saya keluar rumah ikut pintu belakang. Malas nak pergi ambil. Nanti lepas berkebun, jangan lupa cuci tangan bersih-bersih menggunakan sabun, ya.

Bila kita angkat anak pokok dengan tangan kita, kita boleh rasa akar anak pokok itu, jadi kita boleh leraikan akar pokok yang masih tersekat di tapak semaian. Jika guna alat penyodok kecil semata, kita pakai angkat saja, tidak boleh rasa akar, jadi akar pokok boleh terpotong.

Jika dalam tapak semaian anda, anak pokok tumbuh rapat-rapat, saya ada kongsikan cara mudah untuk asingkan anak pokok semasa proses pemindahan di entri ini 👉 Pindah anak pokok tomato.

Pindahkan anak pokok dari tapak semaian ke rumah baru
9. Pindahkan anak pokok dari tapak semaian ke rumah baru.

Masukkan anak pokok dengan tanah-tanah sekali dalam lubang pada pasu yang kita buat tadi. Kambus elok-elok dengan tanah. Siram anak pokok. 

Letak anak pokok pada tempat teduh
10. Letak anak pokok ditempat teduh

Saya letak di tempat tidak berapa panas, bawah lindungan pokok serai. Siap perpindahan anak pokok timun mini. Jangan lupa siram setiap hari kalau tidak hujan. Semoga pokok kita tumbuh dengan subur dan sihat.

Sekian tutorial cara saya pindahkan anak pokok dari tapak semaian ke pasu lebih besar. Semoga bermanfaat. 😊

Catat Ulasan

0 Ulasan