Tiba-tiba tersibuk pula semenjak dua menjak ini, sejak my abang gebu ambil cuti, sebab cuti tahunan dia berlambak-lambak belum habis, bukan boleh carry forward pun. Bila dia cuti, apa lagi, nyongket sana, nyongket sini. Huhu...
Walaupun sibuk, saya tetap akan menjenguk pokok kacang panjang ini setiap hari. Boleh nampak sebenarnya, kalau ada kacang yang boleh dikutip. Kebanyakannya bila sudah cukup besar, akan terjulur keluar, cuma ada juga yang malu-malu bersembunyi di balik dedaunan yang merimbun, jadi kita kena selak-selak periksa bawah daun.
Setiap hari, tidaklah banyak kacang yang saya kutip. Lebih kurang seperti di bawah...
![]() |
| Kutipan kacang panjang Rabu, 25 November 2026. |
Dalam lima batang ke atas. Tapi, tidak sampai sepuluh batang. Saya biasanya simpan. Kadang saya ambil juga sebatang dua, masukkan dalam nasi goreng. Kumpul pula di dalam peti ais, tidaklah lama. Paling lama saya simpan sayur kacang panjang ini, dalam tiga hari saja, lepas itu, saya akan masak.
Tidak kiralah lauk apa, sama ada stir-fry saja pecah telur, celur sekejap atau masuk dalam lauk ayam atau ikan, macam dalam entri di sini 👉 Kutip kacang panjang dan one pot chicken meal.
Pada suatu hari, setelah dikumpul hasil kacang panjang dari kebun mini saya, dapatlah seperti gambar berikut:
![]() |
| Kacang panjang hasil kutipan dari kebun miniku |
Banyak juga. Alhamdulillah, sudah tidak perlu beli kacang di pasar. Saya suka kutip kacang panjang muda, tidaklah yang halus sangat. Tapi tidak juga yang tua sangat, sampai biji kacang panjang itu kelihatan jelas dan tua.
Dalam peti ais pula, ada beli tauhu dan tempe hari sebelumnya, apa lagi, jomlah kita masak sambal.
![]() |
| Sambal tauhu, kacang panjang dan tempe |
Sambal itu pun sambal lebihan nasi lemak yang suami suka kalau beli nasi lemak, dia bungkus sambal asing. Orang nasi lemak pula bagi lebih pula, nak balik awal kot. Kita simpan sajalah sambal dalam freezer. Berguna sangatlah bila nak masak sambal kacang panjang ini, kita campak sajalah sambal nasi lemak itu. Senang kerja. Hehe...
Tauhu, saya beli dua ketul sahaja. Tempe, beli seikat, tempe yang dibalut daun, daun apa ye? Bukan daun pisang. Daun balut tempe la. Daun simpoh atau daun simpur, mengikut carian google. Selain orang kampung guna balut tempe, daunnya yang tua dan lebar, orang guna untuk balut ikan buat masak pais ikan, buat bungkus tapai pun boleh. Sedap tempe yang dibalut daun simpoh ini. Saya kalau pergi pasar pagi Bota Kanan, selalu beli tempe balut daun, kalau jumpa.
Alhamdulillah, kalau ada sambal tauhu, kacang panjang dan tempe di atas, makan dengan nasi begitu saja pun saya okay. Tambah telur dadar bawang lagilah... aummm! 😋
Gabungan tempe dan tauhu membekalkan protein tumbuhan yang lengkap, manakala kacang panjang pula menambah serat serta sedikit protein tambahan.
Anggaran Protein dalam satu hidangan biasa:
🍚 Tempe (1 keping sederhana, lebih kurang 80 hingga 100 gram): Sekitar 15g - 19g protein.
🍚 Tauhu (1 ketul sederhana, lebih kurang 100g): Sekitar 8g - 10 g protein.
🍚 Kacang panjang (1 cawan dimasak): Sekitar 2g protein (lebih kaya dengan serat dan vitamin).
Secara purata, orang dewasa memerlukan sekitar 20g - 30g protein setiap kali waktu makan utama. Jadi, jika kita ambil sekurang-kurangnya satu keping tempe bersama seketul tauhu dalam hidangan tersebut, keperluan protein untuk waktu makan itu sudah tercapai tanpa perlu lauk berdaging.
Ini apehe pula kira protein dalam hidangan ini? Sebab anak kedua suka ambil protein dari serbuk dia beli online itu. Dia memang disiplin bersenam, dan perlu ambil protein. Saya suka suruh dia ambil protein semulajadi seperti yang saya masak, daripada ambil protein dari produk yang dihasilkan kilang ini. Tapi, dia tidak berminat pula. Tak apalah.
Saya pun bila sudah tua baru belajar makan sayur dan tempe. Dulu masa muda, kurang minat sangat, walaupun rakan sebilik waktu belajar ramai orang Johor, dan selalu cakap tempe sedap, lagi-lagi cicah sambal kicap.



0 Ulasan
Tolong komen yang baik-baik, ya. Terima kasih kerana sudi baca cerita berkebun saya.