Segmen Mulan: Kenapa Saya Ada Blog

 Menarik tajuk segmen di blog Mulan ini. Nampak macam soalan mudah. Tapi bila difikirkan, boleh buat muhasabah diri jadinya. 😁

Terer-nya, Mulan sudah menyambut blogiversary-nya yang ke-20. Hebat! 👏👏 Bukan mudah untuk capai tahun ke-20 dalam dunia blog ini. Tahniah kepada blogger Mulan. Saya tumpang gumbira. 🤗

20th Blogiversary Mulan: Kenapa Saya Ada Blog
Poster segmen

Pada pembaca yang ingin turut sertai, bolehlah klik poster di atas, ya. Tarikh tutup segmen adalah pada 30 November 2026.

Merujuk kepada soalan Mulan, berikut adalah jawapan saya:

🌸 Kenapa Saya Ada Blog 🌸

1) Sebab saya paling mudah luahkan diri saya melalui penulisan.

Saya seorang yang suka menulis, berbanding bercakap. Blog adalah tempat untuk saya luahkan apa yang ada dalam fikiran saya. Kenapa blog? Kenapa bukan di media sosial lain? Blog adalah tempat kita boleh tulis panjang-panjang, ikut suka hati kita. Orang baca ke, orang tak baca ke, saya tetap akan tulis di blog. 

Sebenarnya saya sudah lama juga ada blog. Tapi saya kerap padam blog, dan buat blog baru. Sejak dari zaman anak-anak saya masih kecil. Saya sendiri tidak ingat, tapi saya rasa macam pernah buat empat buah blog kot, tetapi semuanya saya padam. 

Ada masanya, saya tidak rasa untuk berkongsi, jadi saya pun padam blog. Lebih kurang macam setiap fasa kehidupan, ada masa kita akan tiba di persimpangan. Waktu itu, hidup berubah dan beralih arah. Ada kala jiwa saya aman bila tidak mempunyai blog, tapi tarikan blog itu cukup kuat, kerana ia satu-satunya medium yang saya boleh guna untuk luahkan apa yang ada di hati dan di fikiran. 

2) Saya suka bunyi klik papan kekunci komputer riba. 

Saya biasa kemaskini blog menggunakan komputer riba. Bunyi jari jemari menaip perkataan lalu membentuk ayat di komputer riba macam ada kesan menenangkan pada saya. Dulu, waktu saya masih sekolah rendah, saya selalu guna mesin taip besar yang menggunakan dakwat ribbon di pejabat arwah datuk saya. Mesin taip yang bila kita hulur jari di tempat huruf kena kertas itu dan jari kita boleh jadi hitam. 

Semasa zaman saya belajar, saya juga ada berkawan dengan kawan-kawan yang ambil jurusan Sains Kesetiausahaan. Saya suka bunyi mesin taip elektrik pada waktu itu juga. 

Dan kini, dengan komputer riba, saya suka dengar bunyi jari menaip di papan kekunci. Pelik tak? Hehe..

3) Saya ingin kongsi ilmu.

Walaupun tidak banyak, jika ada pembaca yang dapat ilmu baru melalui blog saya, dan memanfaatkannya dalam kehidupan seharian, itu sudah cukup buat saya happy.

Dalam usaha saya memperbaiki diri dan dekatkan diri kepada Allah, saya ingin ajak pembaca juga ke arah kebaikan. Secara khususnya, dalam dunia berkebun ini, saya kongsikan benda-benda asas yang mudah dan boleh dibuat. Saya sedar yang bukan semua orang minat menanam dan berkebun, tapi seperti Rasulullah SAW pernah bersabda, daripada Anas bin Malik r.a., yang bermaksud,"Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada anak pokok (benih kurma), maka jika dia mampu untuk menanamnya sebelum berlaku kiamat, hendaklah dia menanamnya." (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, dan Imam Al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad.)

Hadis ini mengajar umat Islam supaya tidak berputus asa dan terus melakukan kebaikan atau kerja yang bermanfaat selagi nyawa dikandung badan, walaupun dunia hampir berakhir.

Hendak berjumpa orang dan mengajak ke arah kebaikan secara berhadapan, bukanlah kepakaran saya. Jadi, melalui blog inilah, saya boleh menulis dan berkongsi ilmu dengan pembaca.

4) Saya dapat kenal teman bloggers

Saya dapat baca kisah hidup, kisah perjalanan atau melancong teman blogger lain, serta dapat ilmu baru dari informasi yang dikongsikan. Dunia blog ini boleh bawa kita 'mengembara' ke serata dunia walaupun kita hanya duduk di dalam bilik. Oleh kerana saya juga seorang surirumah, seronok dapat tambah kenalan secara maya dan semoga silaturrahim antara teman bloggers semua terus terjalin. 🤲😊

Catat Ulasan

0 Ulasan